Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Subang 2009

.


Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Subang 2009 telah berlangsung dengan jayanya di The Club@Bukit Utama, Bandar Utama pada 19 Julai 2009 yang lalu. Perasmian mesyuarat telah disempurnakan oleh Y.B. Dato’ Ketua UMNO Bahagian Subang, Y.B. Dato’ Ir. Muhammad Bushro Bin Mat Johor.

Turut hadir semasa majlis perasmian adalah wakil-wakil dari UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Puteri UMNO Bahagian, wakil Badan Perhubungan Pemuda UMNO Negeri Selangor serta wakil-wakil dari parti komponen Barisan Nasional.

En. Azman Bin Abdul Rashid yang memulakan persidangan sebagai Pengerusi Tetap membawa satu kelainan apabila meminta para perwakilan berdiri untuk menyanyikan lagu ‘Warisan’ bertujuan untuk menanamkan semangat dan kesedaran dalam diri setiap perwakilan.

Dengan mengisytiharkan jumlah kehadiran perwakilan seramai 220 orang, persidangan diteruskan sehinggalah tiba masanya untuk para perwakilan memilih melalui undian, 2 orang wakil Pemuda UMNO Bahagian Subang ke Perhimpunan Agung Pemuda UMNO Malaysia (Wakil G2) daripada 5 orang calon yang menawarkan diri.

Mereka adalah Sdra. Suhaimi Bin Abdul Wahab, Sdra. Zaidi Bin Ibrahim, Sdra. Nazarudin Bin Mohd Nazir, Sdra. Mohd Rafiq Bin Mohd Abdullah dan Sdra. Mohamad Farid Bin Mat Saat.

Sdra. Mohamad Farid telah menarik diri di saat akhir sebelum proses pengundian dijalankan.

Rombongan Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan yang diketuai oleh Ketua Pemudanya, Sdra. Ridzuan Bin Mahidin yang hadir selaku Wakil Badan Perhubungan Pemuda UMNO Negeri Selangor, menyelia proses pengundian dan pengiraan.

Keputusannya, Sdra. Suhaimi dan Sdra. Zaidi telah terpilih sebagai Wakil G2 untuk tahun ini.

Perkara berikutnya dalam agenda persidangan adalah memilih 10 orang wakil Pemuda UMNO Bahagian Subang ke Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Subang yang akan berlangsung pada 2 Ogos 2009 di tempat yang sama.

10 nama telah dicadangkan dan diterima sebulat suara oleh para perwakilan dan mereka adalah;

Sdra. Che Ramli Tausa, Sdra. Anuar Attan, Sdra. Kosim Ibrahim, Sdra. Ahmad Nizam Sheikh Omar, Hj. Shahrizal Mohamad, Sdra. Mohd Faheedi Ailias, Sdra. Zaidi Ibrahim, Us. Wan Sobri Wan Nasir, Sdra. Suhaimi Abdul Wahab dan Sdra. Md Jaafar Bahaman.

Di dalam sesi pembentangan dan perbahasan usul pula, hanya usul pindaan perlembagaan yang dibawa pada tahun ini. Usul tersebut telah dibentangkan oleh Us. Wan Sobri Wan Nasir dan dibahaskan oleh beberapa orang perwakilan. Mesyuarat telah menerima dan menyokong usul terbabit dengan beberapa pindaan.

Persidangan hanya ditangguhkan setelah tiba waktu Maghrib.

Perwakilan telah memilih...

BANDAR UTAMA, 19 Julai - Pemilihan Wakil-wakil Pemuda UMNO Bahagian Subang ke Perhimpunan Agung Pemuda UMNO Malaysia (Wakil G2) berjalan dengan lancar.

Dari 220 perwakilan yang hadir di The Club@Bukit Utama untuk menyertai Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Subang Tahun 2009, hanya 196 perwakilan yang menggunakan hak mereka untuk membuat pilihan.

Calon bernombor 05, Sdra. Mohamad Farid, menarik diri di saat akhir sebelum pemilihan diadakan menjadikan hanya 4 calon sahaja yang tinggal.

Berikut adalah keputusan rasmi pemilihan Wakil G2 bagi tahun 2009 :

NAMA CALONUNDIAN
Suhaimi Bin Abdul Wahab
Caw. Desa Jaya, Bukit Lanjan
148
Zaidi Bin Ibrahim
Caw. Taman Subang Baru, Kota Damansara
146
Nazarudin Bin Mohd Nazir
Caw. Flat Sri Cempaka, Bandar Sri Damansara, Bukit Lanjan
43
Mohd Rafiq Bin Mohd Abdullah
Caw. Dataran Ehsan, Paya Jaras
43
Mohamad Farid Bin Mat Saat
Caw. Taman Bukit Desa, Paya Jaras
Tarik Diri

Undi Rosak : 12
Jumlah Undi Keseluruhan : 392

Tahniah diucapkan kepada Sdra. Suhaimi dan Sdra. Zaidi yang menjadi pilihan majoriti para perwakilan untuk menjadi Wakil Pemuda UMNO Bahagian Subang ke Perhimpunan Agung Pemuda UMNO Malaysia yang akan diadakan pada 13 Oktober 2009 nanti.